Tuesday, 9 August 2011

Antara Hadis - Hadis Rasulullah S.A.W.



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa. [Bukhari & Muslim]

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya. [Bukhari & Muslim]

Zaid bin Thabit r.a katanya:
Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat. [Bukhari & Muslim]

"Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim enam perkara:
Apabila engkau bertemu dengannya, hendaklah engkau memberi salam, apabila beliau menjemputmu hendaklah engkau menunaikan jemputannya, apabila beliau menasihatimu, hendaklah engkau juga menasihatinya, apabila beliau bersin dan menyebut "AlhamduliLlah" hendaklah engkau menyebut :YarhamukaLlah", apabila beliau sakit hendaklah engkau
menziarahinya dan apabila beliau meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya." (Hadis riwayat Muslim).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu dan dia mandi didalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya? Para Sahabat menjawab: Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya. Lalu baginda bersabda: Begitulah perumpamaannya dengan sembahyang lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka.[Bukhari&Muslim]

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya. [Bukhari & Muslim]

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:
Nabi s.a.w sering berdoa ketika sembahyangnya dengan berkata: yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu daripada siksa kubur dan aku memohon perlindungan kepadaMu daripada fitnah Dajjal. Aku juga memohon perlindungan kepadaMu daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati. Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepadaMu dari segala dosa dan hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullahs.a.w: Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mengingkari.
[Bukhari & Muslim]

Diriwayatkan drpd Abu Musa r.a katanya:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok. 
[Bukhari& Muslim]

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara tanda-tanda hampir Kiamat ialah terhapusnya ilmu Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan. [Bukhari & Muslim]

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. [Bukhari & Muslim]

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kekuatan itu tidak dibuktikan dengan kemenangan bertumbuk. Tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika sedang marah. [Bukhari & Muslim]











2 comments:

Anonymous said...

thanx for sharing .. :)

Atiqah Wadiah said...

nice entry~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...